Khamis, 8 Disember 2011

ADP BANTU PROGRAM LINUS





ADAP bantu program LINUS



PROGRAM Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) boleh membantu pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (LINUS), kerana sifat akhbar yang 'selesa', murah dan 'rapat' dengan masyarakat.
Dengan medium itu, ibu bapa yang anak-anak mereka gagal dalam tapisan LINUS boleh menggunakan akhbar sebagai 'buku teks' ketika mengajar anak-anak mereka tentang asas mengenal huruf ketika di rumah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Rohana Hussin memberitahu, sifat 'kemasyarakatan' akhbar menjadikannya bahan bacaan yang paling dekat dan termampu dalam kalangan ibu bapa, walau pun di kawasan yang kuasa belinya rendah.
"Saya memberitahu ibu bapa bahawa tidak perlu membeli buku yang mahal kalau duit menjadi kekangan, gunakan sahaja akhbar untuk mengajar anak tentang huruf, suku kata dan seterusnya perkataan," katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Bukan sahaja murah dan mudah, senaskhah akhbar boleh digunakan untuk jangka masa yang lama bagi tujuan itu, ujar Rohana.
Utusan Malaysia mengadakan program ADaP di sekolah itu baru-baru ini, menjadikanya kali yang ketiga diadakan di situ dalam tempoh empat tahun.
Tentang program ADaP, Rohana memberitahu, pihak sekolah telah memasukkan program pendidikan Utusan Malaysia itu ke dalam Rancangan Strategik Tahunan sekolah.
Beliau mencadangkan ibu bapa dan guru di sekolahnya membeli akhbar itu kerana pihak sekolah bercadang untuk menambah langganan. Kini penggunaan akhbar adalah mengikut kreativiti guru mata pelajaran.
"Jika guru Bahasa Melayu, maka pada kebiasaannya akhbar adalah wadah mencari maklumat dan memperkaya kosa kata. Soalan latihan dalam sisipan ADaP digunakan dengan giat dan meluas untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada saban tahun," katanya.
SK Bandar Baru Bangi tersohor kerana sering melahirkan tokoh Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) peringkat negeri dan kebangsaan. Pada dua tahun kebelakangan ini, wakil murid sekolah itu muncul naib johan peringkat kebangsaan.
Salah seorang ialah Wan Nor Aqilah Wan Sabri, murid Lima Cekal.
Memberitahu rahsia kejayaan itu, Rohana berkata, pihak sekolah menggalakkan murid membaca pada sepanjang tahun, dan memperkenalkan anugerah Nilam untuk setiap tahap.
"Dengan ini pihak sekolah dapat menyediakan pelapis Nilam untuk diketengahkan di peringkat negeri ketika tahun lima, dan peringkat kebangsaan ketika tahun enam," ujarnya.
Murid yang berpotensi dijejak ketika berada pada tahun empat lagi. Pihak sekolah juga, kata Rohana, berasa gembira kerana dua murid sekolah itu itu juga menjadi wakil dalam program Pintar yang dinaungi isteri Perdana Menteri.
Guru Perpustakaan Media, Zainun Ismail berkata, antara kriteria utama pemilihan calon Nilam ialah kecemerlangan dalam akademik, membaca banyak buku, ketrampilan berbahas dan berbahasa, dan sahsiah diri.
Murid juga boleh mengupas isu semasa secara spontan, kata Zainun.
Terdahulu, bengkel ADaP berlangsung selama dua jam, dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim.
Antara pengisian ialah menukar kata yang negatif kepada kata yang positif, jejak kosa kata dan menghasilkan karangan Kalau Aku Seorang Perdana Menteri dengan menggunakan bahan yang ada dalam Utusan Malaysia.
Mereka juga membuat latihan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam sisipan pendidikan ADaP. Layari www. adap.com.my untuk maklumat penuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan